
Etiqa, Takaful tawar semua produk di bawah satu bumbung
JOHOR BAHRU 21 April - Etiqa Insurance Bhd. dan Etiqa Takaful Bhd. (Etiqa) menawarkan semua produk insurans dan takaful di bawah satu bumbung di gerai pameran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2009 di Padang Plaza Angsana, di sini.Ketua Pegawai Jualan Etiqa, Shahril Azuar Jimin berkata, orang ramai dijemput mendapatkan semua maklumat perlindungan kewangan takaful dan insurans termasuk produk individu dan hartanah.
''Pengunjung boleh mendapatkan maklumat dan melanggan produk yang bersesuaian dengan pelanggan di bawah satu bumbung,'' katanya di sini hari ini.
Selain itu, Etiqa juga menawarkan pelan keperluan bagi perubatan, hospital atau simpanan dan pendidikan anak-anak mengikut kehendak pelanggan.
Shahril Azuar berkata, syarikat itu turut menyediakan pelan yang menawarkan pendapatan setiap tiga tahun untuk digunakan bagi tujuan pelaburan, percutian, umrah dan haji, pendidikan dan lain-lain lagi.
Bersempena dengan MSAM, Etiqa menawarkan baucer petrol, Giant dan Jusco kepada pelanggan yang melanggan produk-produknya.
Sementara itu, Syarikat Takaful Malaysia Bhd. (STMB) pula melancarkan produk berkaitan pelaburan, Takaful myInvest, untuk meningkatkan portfolio terbuka dalam satu produk.
Takaful myInvest membolehkan pelabur melabur serendah RM100 dan memberi pelabur pilihan tentang bentuk pelaburan, bergantung kepada objektif kewangan dan pelaburan pelabur.
Ketua Pegawai Pelaburannya, Azian Kassim berkata, pelabur boleh memilih risiko dan pulangan yang dinamik daripada empat dana pelaburan berbeza yang mematuhi kehendak Syariah.
Empat produk itu ialah dana dividen (irad), dana mewah (istifad), Dana Indeks Tracker (Ihfaz) dan dana pertumbuhan (Ittihad).
Produk-produk itu dilabur dalam ekuiti tempatan dan pasaran wang yang diuruskan oleh bahagian pelaburan STMB.
Takaful myInvest terbuka kepada individu yang berusia antara 18 tahun hingga 65 tahun.
